Selamat Tinggal Syawal!!
Segala kenangan indah, manis dan menyentuh jiwa akan sentiasa ku kenang!
Sedar tak sedar hari ini kita akan mengucapkan selamat tinggal kepada bulan syawal yang indah setelah sebulan menyambutnya bersama keluarga tercinta.
Sambutan kali ini juga amat bermakna dan sungguh istimewa bagi kami sekeluarga. Kali ini kami memulakan sambutan hari raya di kampung asal ibubapa saya di negeri Kelantan, walaupun kedua arwah nenek dan datuk telah lama tiada.
Sebenarnya, kedua ibu bapa saya berasal dari negeri Kelantan tetapi telah begitu lama berhijrah ke Pahang dimana kami adik-beradik dilahir dan dibesarkan.
Mengenangkan bapa yang semakin uzur dan demi menggembirakan mereka yang telah begitu lama tidak berjumpa dengan sanak saudara di Kelantan, saya mencadangkan agar hari raya kali ini disambut di kampung asal mereka. Cadangan itu disambut dengan luahan rasa gembira ibu dan bapa, juga dipersetujui oleh ahli keluarga yang lain.
Seawal Januari lagi saya telah memulakan perancangan dan bukan mudah rupanya mencari tempat tinggal yang sesuai pada hari raya kerana telah menjadi budaya rakyat Kelantan yang pulang ke kampung bermalam di hotel/homestay sepanjang percutian. Mungkin disebabkan faktor adik-beradik yang ramai dan rumah orang tua yang agak sempit.
Saya agak bertuah kerana kami berjaya mendapatkan sebuah unit banglo setingkat yang begitu selesa dengan kadar yang agak berpatutan. Kedudukannya yang berdekatan dengan kampung halaman kedua ibu bapa saya menjadikan ianya sebuah tempat persinggahan yang cukup sesuai buat keluarga kami yang besar.
Seawal pukul tiga pagi lagi kami memulakan perjalanan pada malam raya. Rombongan kami yang terdiri daripada 4 buah kereta, menyertai kemeriahan warga Kelantan yang lain pulang ke kampung untuk berhari raya. Suasana meriah cukup dirasai dengan berbagai gerai/kedai makanan dibuka sepanjang perjalanan, khas untuk warga kota bersahur dan menyegarkan mata sebelum menuju ke kampung halaman masing-masing.
Menyambut hari raya ditempat yang asing bagi kita merupakan kenangan yang tidak mungkin kami lupakan. Menyaksikan bapa yang menitiskan air mata takala berpelukan dengan satu-satunya adik perempuannya yang masih ada dan ibu yang bergurau senda dengan kawan-kawannya sewaktu muda, memberi satu bentuk kepuasan pada diri ini. Yang paling penting, raya kali ini berjaya mengumpulkan kami sebagai satu keluarga besar yang terdiri daripada 6 adik-beradik bersama keluarga kami masing-masing.
Ya Allah! Terima Kasih diatas rahmatmu. Aku bersyukur kerana segalanya berjalan dengan lancar. Walaupun penat masa terasa kerana selepas kembali dari Kelantan, saya sekeluarga terus menuju ke Perak bagi menyambut hari raya bersama keluarga Mentua pula, selain berjalan raya di beberapa tempat termasuk ke Rembau, Negeri Sembilan, tempat kelahiran arwah ibu mertuaku.
Juga terima kasih suamiku tersayang yang sentiasa memahami dan bersikap adil bagi memastikan kami dapat meluangkan masa dengan kedua belah keluarga tanpa perlu bermasam muka. Walaupun penat memandu kesana-sini, duit yang mencurah keluar bagaikan air, tidak pernah dia menjadikan itu sebagai alasan untuk menjalankan tugas sebagai suami, ketua keluarga, anak dan menantu yang bertanggungjawab.
Terima kasih sayang!